Kosmetik Menyebabkan Kanser?

Credit: Che Puteh Osman

Ya betul. Kita kena buang ke kosmetik yang ada? Jangan gelabah dulu. Jom baca sampai habis.

Kosmetik hanya menambahkan risiko kanser jika ia tercemar dengan bahan yang dilarang digunakan dalam pembuatan kosmetik.

Bagaimana hendak mengenal kosmetik yang mengandungi bahan terlarang?
  1. Semak di laman web NPRA mengenai kosmetik yang dibatalkan notifikasi atau dikenalpasti tercemar bahan terlarang.
  2. Pastikan membeli kosmetik dari pengeluar yang mempunyai rekod baik
  3. Pastikan membeli kosmetik yang bernotifikasi.
  4. Pastikan membeli kosmetik di kedai yang mempunyai syarat pemilihan ketat barang jualannya.

Kanser adalah bersifat multifaktorial. Sukar untuk menunjukkan satu sebab tunggal punca kanser kecuali untuk kes tertentu. Apakah keadaan tersebut? Contohnya arak, rokok, virus hepatitis B dan C, virus HPV dan genetik (untuk kanser tertentu). Selain itu, obesiti, gaya hidup tidak cergas, pendedahan pada karsinogen meningkatkan risiko kanser.

Image result for arak rokok

Walaupun anda mendengar sesetengah bahan kimia itu menyebabkan kanser, jangan gelabah dulu. Karsinogen ada beberapa gred berdasarkan bukti saintifik. Karsinogen yang mempunyai bukti kukuh menyebabkan kanser pada manusia adalah dari gred 1.

Gred 1: Mempunyai bukti kukuh menyebabkan kanser pada manusia

Gred 2A: Mempunyai bukti kukuh menyebabkan kanser pada haiwan, namun kurang bukti pada manusia.

Gred 2B: Kekurangan bukti menyebabkan kanser pada manusia dan haiwan.

Gred 3: Maklumat tidak sesuai untuk mengaitkan kanser pada haiwan dan manusia.

Gred 4: Kekurangan bukti menyebabkan kanser.

Senarai karsinogen boleh di semak di sini: https://monographs.iarc.fr/list-of-classifications

Bahan yang terbukti menyebabkan kanser adalah dari gred 1 kerana terdapat bukti kukuh pada manusia. Walaupun demikian, kita perlu melihat pula apakah bentuk pendedahan (exposure) yang boleh menyebabkan kanser. Misalannya aluminium dan formaldehyde, sejenis karsinogen gred 1.

Aluminium berisiko menyebabkan kanser melalui pendedahan habuk hasil perindustrian dari pendedahan pekerjaan (occupational exposures) dan bukannya dalam bentuk garam aluminium. Terdapat kebimbangan penggunaan garam aluminium, aluminum chlorohydrate dalam antiperspirant yang dikatakan menyebabkan kanser payudara. Namun,masih belum ada bukti menunjukkan perhubungan bersebab atau causal relationship antara aluminium chlorohydrate dan kanser.

Manakala formaldehyde menyebabkan kanser pada pendedahan yang ekstrem dalam tempoh yang lama terutamanya mereka yang terlibat secara langsung dengan pengendalian formaldehyde atau bahan kimia yang membebaskan formaldehyde.

Image result for formaldehyde

Formaldehyde dalam ‘trace amount’ atau jumlah surih tidak membahayakan. Malah makanan kita juga menghasilkan formaldehyde secara semulajadi contohnya pear, timun, buah aprikot, bunga kobis, kentang, bayam dan tembikai. Adakah ia berbahaya? Tidak. Formaldehyde juga boleh ditemui dalam jumlah surih di dalam vaksin yang sering menjadi kontroversi, padahal pada jumlah ini ia adalah selamat, malah makanan kita mengandungi beratus kali ganda lagi tinggi dari jumlah surih dalam vaksin.

Seterusnya, jika anda mendapati sebahagian bahan kimia ini adalah karsinogen gred 2 dan 3, adakah anda perlu membuang semua kosmetik anda?

Jangan, tunggu dulu.

Seperti yang saya jelaskan tadi, karsinogen gred 2 dan 3 mempunyai kurang bukti untuk mengaitkannya dengan punca kanser. Kita tidak boleh menuduh kosmetik sebagai punca tunggal kanser. Jika anda lihat senarai karsinogen di laman sesawang International Agency for Research in Cancer (IARC) WHO, tar, kopi, daging merah, asap enjin, dan petrol juga adalah karsinogen gred 2B. Adakah kita kena tinggalkan ini?

Konsep toksikologi, ‘the dose makes the poison’. Dos yang menjadikan ia racun atau ubat. Pendedahan di bawah paras siling, adalah selamat. Kebanyakan bahan ini hanya meningkatkan risiko kanser jika terdedah pada jumlah yang ekstrim misalannya pendedahan pekerjaan (occupational exposures) dan dalam tempoh yang lama.

Sebahagian karsinogen gred 1 dan sebahagian gred 2A, 2B dan 3 telah diharamkan penggunaannya dalam kosmetik.

Antara bahan yang dilarang dalam pembuatan kosmetik dalam seperti yang digariskan dalam ANNEXES OF THE ASEAN COSMETIC DIRECTIVE, Annex II Bahagian 1, adalah:

  1. Tar arang batu/Coal tar (Gred 1)
  2. Benzene
  3. Ethylene oxide (Gred 1)
  4. Benzophenone (Gred 2B)
  5. Arsenik (Gred 1)
  6. Kadmium (Gred 1)
  7. Resorcinol (Gred 3)
  8. Hydroquinone (Gred 3)
  9. Nitrosamine, bukan karsinogen.

Senarainya tersangatlah panjang, dan anda boleh semak di sini: https://www.npra.gov.my/…/Guidelines_on_Cosmetic/AnnexII.pdf

Ada banyak lagi bahan lain yang menjadi kontroversi sebahagiannya adalah karsinogen gred 2B, gred 3, malah ada yang bukan karsinogen. Bahan ini dibenarkan penggunaan dalam kosmetik mengikut peratusan tertentu sahaja seperti dalam garis panduan di atas.

Contohnya ethnanolamine, resorcinol, BHT, p-aminobenzoic acid adalah karsinogen gred 3 manakala BHA, titanium dioxide, dan benzophenone adalah karsinogen gred 2B, manakala octyl methoxycinnamate, 3,3,5-trimethylcyclohexanol, nitrosamine, triclosan, garam aluminium, triclosan adalah bukan karsinogen.

Selain dari bahan kimia di atas, terdapat kerisauan kosmetik yang terkontaminasi bahan kimia berbahaya seperti arsenik, 1,4-dioxane, akrilamida dan poliaromatik hidrokarbon. Sekiranya bahan kimia ini berada pada tahap ‘trace amount’ atau jumlah surih, ia adalah selamat selagi mana mereka mematuhi garis panduan bahan yang dilarang dalam pembuatan kosmetik.

Kesimpulannya, sesetengah dakwaan adalah tidak tepat dan mengelirukan. Sesetengah bahan ini memang telah dilarang penggunaannya dalam pembuatan kosmetik. Walaupun ia disenaraikan sebagai karsinogen, jika bukan gred 1, masih belum terbukti ia meningkatkan risiko kanser pada manusia. Maka, pilihan di tangan anda. Jangan tidak pakai antiperspiran atau apa–apa bahan yang mengelakkan bau badan pula. Jangan ditambah lagi kemasaman dalam kenderaan awam. Namun, jika notifikasi kosmetik ditarik balik, jangan cari penyakit.

Penafian: Sesetengah orang memang ada alahan pada sesetengah bahan dalam kosmetik. Jika anda dapati anda mengalami reaksi alahan, hentikan penggunaan, dan dapatkan rawatan segera.

Nota kaki: Penyakit kardiovaskular adalah antara pembunuh utama rakyat Malaysia, termasuklah darah tinggi, kencing manis, dan serangan jantung. Dan risiko kepada penyakit ini anda boleh kawal.

Sumber: Facebook Che Puteh Osman

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Shopping cart

0

No products in the cart.

Subsribe & Get Up to 50% Discount!

We keep your data private and share your data only with third parties that make this service possible. Read our Privacy Policy.

en_USEnglish
ms_MYMalay en_USEnglish